MELAYU ENGGAN BERSATU…SUKA DIJAJAH

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

APA lagi orang Melayu hendak katakan apabila MCA semakin lantang membuat tuntutan untuk meraih keuntungan politik daripada kalangan kaum Cina?

Apa lagi yang orang Melayu boleh buat apabila DAP hari demi hari semakin menunjukkan taringnya untuk menjadikan mereka juara kepada kaum Cina?

Apa yang boleh orang Melayu lakukan dalam menangani telatah itu? Apakah sekadar melahirkan kekesalan dan memberikan peringatan supaya hak orang Melayu jangan disentuh dan hak bumiputera jangan dicabuli.

Bagaimana pula dengan pendedahan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa sudah ada pihak mewujudkan perlembagaan baru bagi memastikan hak orang Melayu dan Islam dihakis.

Penulis percaya kelantangan puak-puak yang ingin menghapuskan hak-hak orang Melayu dan Islam itu tidak akan terhenti di sini sahaja. Banyak lagi yang bakal mereka lakukan terutamanya menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Semua itu mereka lakukan demi mencari kuasa politik dan mahu memastikan sokongan kaum tertentu menyebelahi mereka.

Tetapi apa yang orang Melayu boleh lakukan? Akui sahaja tiada apa-apa yang boleh dibuat kerana orang Melayu masih berpecah belah.

Ketika MCA dengan terbuka menyatakan tidak keberatan untuk senada dengan musuh politik Barisan Nasional (BN) iaitu DAP bagi memperjuangkan nasib kaum Cina, parti-parti yang mewakili orang Melayu terus berbalah.

Ia jelas apabila Pas yang terang-terang sebuah parti yang dianggotai seratus peratus orang Melayu dan Islam tidak mahu senada dengan UMNO.

Bagi sesetengah pemimpin Pas seolah-olah satu dosa kalau mereka menyokong apa yang diperjuangkan oleh UMNO hatta demi kepentingan orang Melayu dan umat Islam sekalipun.

Justeru apa sahaja yang UMNO perjuangkan dengan memikirkan situasi di mana parti-parti lain makin bersatu untuk kepentingan kaum mereka, ia akan dinafikan oleh Pas.

Malahan di Pulau Pinang, contohnya, ada pemimpin Pas tetap menganggap apa yang dilakukan oleh Lim Guan Eng yang dilihat menindas orang Melayu dan bumiputera adalah betul.

Begitu juga di Selangor, apabila ada pemimpin Melayu PKR dan Pas bersetuju dengan pandangan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Tony Phua agar diskaun kepada bumiputera dalam pembelian hartanah di negeri itu dihapuskan.

Semua gelagat ini bukan sahaja ‘menggembirakan’ MCA dan DAP malah memberikan mereka semangat untuk terus membuat tuntutan dan melakukan tindakan kerana mereka memahami bahawa orang Melayu yang berada di dalam Pas sama sekali tidak akan senada dengan UMNO.

Adalah sesuatu yang malang, apabila ketika UMNO terus bermati-matian mempertahankan orang Melayu dan bumiputera tidak dicabuli, pemimpin-pemimpin Melayu lain di dalam Pas dan PKR hanya mendiamkan diri.

Lebih mengecewakan, ada antara mereka akan tergamak menganggap UMNO rasis sedangkan apabila MCA dan DAP membuat tuntutan untuk kaum Cina, mereka berhujah ia demi keadilan.

Segalanya kerana kelompok-kelompok tersebut hanya memikirkan kepentingan politik. Mereka ingin meraih sokongan daripada kaum lain demi survival politik dan merebut kekuasaan.

Justeru dalam soal ini, orang Melayu perlu segera sedar bahawa selagi mereka tidak sekata dan senada dalam mempertahankan hak mereka, maka selagi itulah sedikit demi sedikit ia akan dicabuli dan dihakis.

Orang Melayu terutamanya di dalam Pas dan PKR perlu segera sedar bahawa sudah wujud keberanian luar biasa di kalangan kaum lain untuk membuat tuntutan berlebihan.

Mereka perlu faham bahawa telah ada kecenderungan pihak tertentu untuk mewujudkan perlembagaan baru yang bakal menyaksikan kedudukan orang Melayu sudah tiada apa-apa keistimewaan di bumi bernama Tanah Melayu ini.

Malahan mereka juga perlu mengerti bahawa sekadar amaran sahaja ia tidak akan melunturkan semangat sesetengah pemimpin di dalam MCA dan DAP untuk terus bermain dengan api.

Apa yang boleh memberikan amaran berbisa kepada parti-parti berkenaan supaya tidak melampau di dalam membuat tuntutan ialah penyatuan di kalangan orang Melayu.

Mereka amat bimbang kalau UMNO dan Pas bersatu, seia sekata, senada sehaluan!

Mengulas perkara ini seorang pemimpin kanan UMNO memberitahu penulis seandainya orang Melayu terus berpecah maka tidak mustahil mereka (tanpa mengira UMNO atau Pas) akan kehilangan kerusi di kawasan majoriti Melayu.

Ia kerana kuasa 30 peratus pengundi bukan Melayu di dalam sesebuah kawasan pilihan raya boleh menjadi penentu.

”Kalaulah mereka secara padu memberikan sokongan kepada calon mereka sedangkan undi orang Melayu berpecah maka tidak mustahil, semua kerusi orang Melayu akan hilang,” katanya ketika berbual-bual dengan penulis.

Mungkin sekali lagi, orang Melayu masih belum nampak bahaya yang menanti. Walaupun satu demi satu bukti dan sikap sebenarnya sudah ditunjukkan oleh kaum-kaum lain.

Tetapi kata mereka, semua itu hanya gertakan atau mainan politik BN dan UMNO bagi menakut-nakutkan orang Melayu.

Jika tanggapan semua ini berterusan maka tidak mustahil, orang Melayu akan terus diperkotak-katikkan dan kaum bukan Melayu termasuklah sahabat karib UMNO sendiri akan sanggup mengamalkan perbuatan yang dilihat tikam dari belakang.

Oleh itu, orang Melayu terutamanya di dalam PKR dan Pas perlu sedar bahawa sebarang kesepakatan kononnya atas dasar hormati menghormati yang dikatakan oleh rakan parti bukan Melayu mereka hanya retorik dan mainan lidah politik semata-mata.

Apabila tiba masanya dengan melihat kuasa politik Melayu semakin melemah maka tidak mustahil mereka akan bersatu dan meninggalkan parti-parti Melayu sendirian.

Mereka tahu berupaya berbuat demikian kerana memahami bahawa Pas dan pemimpin Melayu dalam PKR melihat UMNO ibarat ‘musuh kamu yang paling nyata.’

Oleh itu ketika mereka semakin memperkukuhkan ikatan memperjuangkan nasib kaum mereka tanpa mengira perbezaan politik, orang Melayu pula terus kekal dengan sikap berpecah-belah dan tidak mahu bersatu.

Percayalah, jika situasi ini berterusan, semua orang Melayu hanya menjadi penonton kepada kehilangan kuasa politik dalam pilihan raya akan datang.

Janganlah anggap ini sesuatu yang mustahil kerana sebelum pilihan raya umum 2008 siapa sangka BN akan kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen, Perak hampir diperintah oleh seorang Menteri Besar daripada DAP (jika Perlembagaan tubuh negeri membenarkan) dan Selangor akan jatuh ke tangan pembangkang.

Oleh itu belajarlah daripada sejarah wahai orang Melayu supaya kita tidak menjadi bak kata orang ‘berputih mata tiada berguna, berputih tulang sudah tidak bererti.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: