Author Archive

MAT SALLEH PAHLAWAN MELAYU SABAH

24/08/2008
Mat Salleh. Pahlawan Melayu Sabah

Mat Salleh. Pahlawan Melayu Sabah

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Mat Salleh pernah mengisytiharkan daerah Tambunan atau dalam bahasa Mat Salleh ‘Negeri Tambunan’ sebagai daerah di bawah kekuasaunnya.Mat Salleh berasal daripada suku Suluk Paitan. Ayahnya, Datu Balu berkahwin di Inanam dengan seorang perempuan suku Bajau. Hasil daripada perkahwinan mereka itu lahirlah empat orang adik-beradik iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong.

Isteri Mat Salleh bernama Dayang Bandang, berasal daripada keluarga Sultan Sulu dan berkampung di Pengalaban, Paitan. Kota Kampung Tibabar, Tambunan adalah salah sebuah kota utama pertahanan Mat Salleh yang kuat. Kota ini ialah benteng terakhir Mat Salleh dalam usahanya memimpin orang-orang Sabah menentang Inggeris.

Kejatuhan kota ini pada tahun 1900 akibat serangan hebat Kompeni Hindia Timur Inggeris dan berjaya mematahkan pertahanan Mat Salleh. Malah peristiwa itu menandakan gugurnya Mat Salleh sebagai pejuang bangsa.

Datu Mat Salleh mengambil tugas bapanya, Datu Balu sebagai ketua kampung di daerah Lingkabo dan Sungai Sugut. Perbelanjoan pentadbiran Datu Mat Salleh adalah daripada pungutan cukai ke atas pedagang-pedagang yang melalui Sungai Sugut pada tahun 1894.

Inggeris tidak senang dengan tindakan Mat Salleh itu, lalu menyerang Mat Salleh di Jambongan serta memusnahkan kubu Mat Salleh di Sungai Sugut pada tahun 1896 hingga 1897.

Datu Mat Salleh bagaimanapun dapat melepaskan diri. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897.

Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya menyerang dan membinasakan pejabat Pentadbiran Kompeni Hindia Timur Inggeris di Pulau Gaya. Dalam tahun yang sama juga Mat Salleh menyerang dan membakar Pejabat Residen Kompeni Hindia Timur Inggeris di Ambong.

Pada bulan Disember 1897, Inggeris menyerang kubu Mat Salleh di Ranau. Mereka tewas dan banyak askar Inggeris terbunuh termasuk Jones yang mengetuai serangan tersebut.

Pada bulan Januari 1898, Inggeris sekali lagi menyerang kubu Mat Salleh di Ranau dengan angkatoan yang lebih besar. Mat Salleh berjaya mengundurkan diri dan membina kota pertahanan yang baru, yang lebih kuat dan kukuh di kampung Tibabar, Tambunan.

Kota utama Mat Salleh di Tambunan ini sangat sukar ditembusi. Kota ini diperbuat daripada batu-bata, kayu serta buluh tidak dapat ditembusi peluru.

Setiap penjuru kota dikawal dan terdapatbeberapa terowong atau julan bawah tanah yang rahsia digunakan untuk meminta bantuan-bantuan senjata, makanan dan lain-lain dari luar kota. Jalan rahsia ini juga dijadikan jalan untuk berundur menyelamatkan diri apabila dikepung musuh.

Kini sebuah tugu dibina oleh Inggeris untuk memperinga kota Mat Salleh itu. Di tugu peringatan itu, tertulis perkataan dalam bahasa Inggeris yang bererti, ‘Tugu ini menandaka tapak kubu Mat Salleh yang telah ditawan oleh Pasuka Bersenjata North Borneo Constabulary pada 1 Februari 1900. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menentang Pentadbira Chartered Company menemui ajalnya’.

Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.

TOK JANGGUT

21/08/2008
Tok Janggut. Pahlawan Melayu Kelantan

Tok Janggut. Pahlawan Melayu Kelantan

Tok Janggut mendapat pendidikan di Mekah dan mahir bersilat. Ada riwayat mennyatakan bahawa beliau adalah anak murid Tok Ku Paloh. Selepas Perjanjian Inggeris-Siam 1909, pihak British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam dan mula membawa pelbagai perubahan khususnya dari segi pentadbiran. Perubahan yang diperkenalkan telah menyentuh kedudukan dan keistimewaan tradisional di negeri Kelantan. Antara yang paling sensitif ialah pengenaan cukai seperti berikut:

* cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun

* cukai pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun

* kelapa sebanyak 3 sen setandan

* sireh sebanyak 5 sen sejunjung.

Pada 29 April 1915, pentadbiran Jeram, Pasir Puteh, Kelantan telah diambil alih oleh Encik Latiff, menggantikan Engku Besar. Keadaan bertambah buruk apabila Encik Latiff, pegawai pentadbiran British yang berasal daripada luar Kelantan menjalankan tugasnya dengan tegas, khususnya dalam hal pengutipan cukai.

Engku Besar membuat perundingan dengan Tok Janggut, Haji Said, Che Sahak dan Penghulu Adam, dan mereka bersama-sama memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan pihak British. Mereka mendapat sokongan sebilangan besar rakyat, dan ini membimbangkan Encik Latiff. Pada 29 April 1915, Encik Latiff mengarahkan sepasukan polis yang diketuai oleh Sarjan Sulaiman (Che Wan) bertolak ke Kampung Tok Akib untuk bertemu dengan Tok Janggut Dalam satu perkelahian yang berlaku, Sarjan Sulaiman telah terbunuh.

Tok Janggut kemudian menghimpunkan pengikut-pengikutnya menuju ke Pasir Puteh. Encik Latiff melarikan diri ke Kota Bharu. Bantuan daripada Singapura dan Negeri Melayu Bersekutu dikejarkan ke Pasir Puteh pada 6 Mei 1915. Satu pertempuran berlaku pada 25 Mei 1915 di Kampung Merbuk dan Kampung Pupuh.

Gambar Tok Janggut Dihukum Gantung

Gambar Mayat Pahlawan Melayu Tok Janggut Digantung Songsang

Kebangkitan Tok Janggut telah menyebabkan Sultan Kelantan berasa terancam dan menganggap Tok Janggut sebagai penderhaka. Dalam pertempuran di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh. Mayat Tok Janggut dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari. Mayat beliau digantung beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

TokJanggut3

ROSLI DHOBI

21/08/2008
Rosli Dhobi. Pahlawan Melayu Sarawak

Rosli Dhobi. Pahlawan Melayu Sarawak

Rosli Dhoby yang berjuang menuntut kemerdekaan Sarawak daripada British mati di tali gantung pada 2 Februari, 1950.Usianya ketika itu baru 17 tahun dan beliau seorang guru. Namun semangat juang bagi menentang British yang ingin kembali menguasai Sarawak selepas Perang Dunia Kedua cukup mengagumkan.

Beliau didapati bersalah menikam sampai mati Gabenor British kedua Sarawak Sir Duncan Stewart dengan menggunakan pisau beracun di Sibu pada 3 Disember, 1949.

Anak muda Melanau yang dilahirkan pada 1932 di Sibu menganggotai Gerakan Pemuda Melayu Sarawak (GPMS) yang ditubuhkan bagi menentang penjajah British swasta, keluarga Sir Charles Vyner Brooke yang kalah di tangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua tetapi mahu menyerahkan Sarawak kepada Pejabat Kolonial di London selepas Perang pada tahun 1945.

Sarawak dikuasai oleh penjajah swasta British Sir James Brooke pada tahun 1842. Keluarga Brooke, iaitu Sir James, anak saudaranya Sir Charles, dan anak Sir Charles iaitu Sir Charles Vyner, memerintah Sarawak dari tahun 1842 sehingga tewas dalam perang dengan Jepun pada tahun 1941.

Rosli adalah salah seorang anggota kumpulan Rukun 13 dalam GPMS. GPMS yang menggabungkan pemimpin-pemimpin Melayu Brunei dan Melanau Sarawak diketuai oleh Datuk Patinggi Abang Abdillah iaitu Perdana Menteri Sarawak di zaman Sir Charles Vyner.

Sebelum keluarga Brooke menguasai Sarawak, keluarga Abang Abdillah adalah pemerintah Sarawak dan wakil Sultan Brunei, pengasas negeri Sarawak.

Rukun 13 ditubuhkan di Jalan Queensway, Sibu, pada 21 Februari, 1949. Tujuannya ialah untuk menikam Sir Duncan yang amat tidak popular di kalangan masyarakat bumiputera Sarawak kerana bersikap angkuh terhadap mereka.

Rukun 13 telah memilih Rosli untuk menikam Sir Duncan tatkala agen penjajah itu melawat Sibu pada Disember 3, 1949.

Pada jam 9.30 pagi di hari itu, Rosli telah menikam perut Sir Duncan dengan pisau tradisi Melanau yang dipanggil Badik.

Rosli menjerit: “Keluar dari sini atau kamu mati!”

Rosli dan rakannya yang juga berketurunan Melanau, Morsidi Sidik, kedua-duanya ditangkap oleh polis British.

Sir Duncan telah dihantar ke Hospital Sibu dan seterusnya ke Singapura untuk menerima rawatan rapi. Pegawai British itu meninggal dunia 7 hari selepas kejadian.

Pada 15 Disember, 1949, Rosli dan Morsidi serta dua lagi rakan seperjuangan mereka, Awang Rambli Awang Matsaruddin dan Bujang Suntong, yang juga berketurunan Melanau, telah dihukum gantung sampai mati di Penjara Kuching, Jalan Tabuan, Kuching.

Mereka semua dikebumikan tanpa batu nisan.

Keempat-empat pejuang nasionalis ini dikebumikan semula di Sibu pada 2 Mac, 1996, di Sibu, selepas upacara rasmi yang dihadiri oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak kelima Allahyarham Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohamad Noor (kawan mereka yang juga berketurunan Melanau).


Ini ialah surat terakhir Rosli Dhoby kepada keluarganya sehari sebelum digantung:

Kepada ibu bapaku yang dimuliai dan ditaati serta dicintai siang dan malam.

1. Selamat berpisah anakanda ucapkan di atas kematian anakanda yang dahsyat. Janganlah diingat-ingat dan dirayukan kerana itu memang sudah nasib dan takdir anakanda yang tak dapat dielakkan dan dimungkirkan lagi.

2. Peliharakanlah adik dan kakak serta semua ahli kita – Berikan segala pelajaran sama ada `Sunat’ atau `Fardu’ kepada mereka.

3. Ampunilah dosa dan kesalahan anakanda dari merah tapak kaki dipelihara ayahanda dan bonda sehingga hari perpisahan anakanda. Dan halalkanlah makan minum anakanda.

4. Selimutilah jenazah anakanda dengan Panji Kebangsaan Sarawak.

5. Segala perkakas tulis menulis, buku dan pakaian anakanda itu, berikan semuanya kepada Adik Aini.

(Datuk Aini Dhoby adalah seorang pengasas Barisan Rakyat Jati Sarawak dalam tahun 1961 bersama dengan Tun Ahmad Zaidi, bekas Ketua Menteri Sarawak ketiga dan Yang Dipertua Negeri Sarawak keempat Tun Abdul Rahman Yaakub, dan Ketua Menteri Sarawak keempat Tan Sri Dr Abdul Taib Mahmud.

Barisan Rakyat Jati Sarawak atau BARJASA kemudian dinamakan Parti Bumiputra Sarawak dan akhirnya, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak atau PBB)

6. Sementara anak kecil Fatimah, berilah dengan nama ROSLI sempena memperingati anakanda.

7. Sampaikan salam hormat dan maaf serta selamat dari anakanda kepada ibu tua dan bapa saudara anakanda.

8. Ayahanda dan bonda serta ahli keluarga sekalian janganlah lupa mengamalkan kebajikan dan mendirikan sembahyang untuk bekalan istimewa ke alam yang kekal.

Salam sembah dari anakanda.

Rosli Dhoby

1 Mac, 1950.

Allahyarham Awang Rambli adalah ayahanda kepada pelakon dan penyanyi veteran Dayang Sofia yang terkenal sebagai pelakon dalam filem Allahyarham Tan Sri P. Ramlee berjudul Tiga Abdul.

Dayang Sofia juga adalah bekas isteri kepada Datuk Aziz Sattar, pelakon siri filem Bujang Lapok yang juga kawan karib P. Ramlee.

MAT KILAU

20/08/2008
Mat Kilau Pahlawan Melayu Terbilang

Mat Kilau Pahlawan Melayu Terbilang

Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah. Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau @ Tok Gajah. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta belajar berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’. Hobi Mat Kilau adalah bermain gasing dan berlaga buah keras sehingga sentiasa menjadi juara di kampung beliau.

Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Hasil perkahwinan ini Mat Kilau telah dikurniakan tiga orang anak. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang.Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Botok yang dikenali juga sebagai AL-Allamah Haji Botok bin Osman sebelum dia berpindah dari Kelantan sebagai Mufti Negeri Pahang.sila rujuk buku Tokoh-tokoh Ulama Semenanjung Tanah Melayu, terbitan Majlis Agama Islam dan Adai Istiadat Melayu Negeri Kelantan Jilid 2, bab Ulama Kelantan yang masyhur di luar kelantan. sebelum berhijrah ke Pahang Hj Botok yang merupakan Pawang Di Raja Kelantan telah berselisih faham dengan Raja Kelantan yang menjadi sebab beliau berpindah ke Pulai Tawar,Pahang. Hj Botok mempunyai dua lagi saudara di kampung Berangan Tumpat,yang bernama Mat Diah bin Osman (tok chik mat diah)dan Merah bin Osman (tok chik hj merah).Hj Botok aliran Pencak Silat Gagungman 9 Purba Sakti merupakan murid kepada ulama Patani yang mashur sebagai Tok Bendang Daya Tua. nama sebenar Tok Botok ialah Botok bin Raja Osman B Raja Ali Legeh Patani. datuk Hj Botok adalah imigran perang Siam-Melayu Patani yang merupakan kerabat di Raja Legeh Patani yang terpaksa berhijrah ke KELANTAN akibat di langgar Siam.


Sejarah perjuangan

Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikutnya terlalu ramai,tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong,Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali(khatib), Awang(Imam) dan Mat Tahir. Mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.

Buruan British

Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Straits Times dan The Free Press menyatakan “Ketua Pendehaka, iaitu Dato’ Bahaman telah jatuh ke tangan pemerintahan Siam pada bulan Oktober,1895. The Free Press pula memberitahu bahawa Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah. Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau. Akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat(Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim(Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris,maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5,Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.


Keluar dari persembunyian

Dalam bulan Disember 1969,Tuhan telah menggerakkan hati Mat Kilau yang pada itu memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim,memperkenalkan dirinya yang sebenar.Untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai,maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas daya usaha Omar bin Mat Kilau,maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid,Pulau Tawar Jerantut. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah mebaca Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau. Pengisytiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis,6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar PahangYAB Tan Sri Haji Yahaya Mohd Seth. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia kerana keuzuran. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun.

Semoga ALLAH mencucuri rahmat ke atas rohmu pahlawanku. PEMBELA


KANANG ANAK LANGKAU

19/08/2008

Pahlawan Negara Kanang Anak Langkau

Pahlawan Negara Kanang Anak Langkau

Kanang anak Langkau (lahir 1945) ialah pahlawan dan askar Malaysia yang terkenal. Berasal daripada komuniti Dayak (Iban) di Sarawak, beliau adalah daripada Rejimen Renjer Diraja dan merupakan Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia. Kanang dianugerahkan dengan pingat-pingat Panglima Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ahmad Shah pada 3 Jun 1981.

Dilahirkan di Julau, Sarawak, Kanang menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962. Beliau diserap ke dalam Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963. Kanang menyiapkan perkhidmatannya selepas 21 tahun sebagai Pegawai Waran 1.

Menyusuli kematian seorang askar di kawasan Tanah Hitam, Perak, akibat serangan oleh pihak komunis pada 8 Februari 1980. Platun Perisikan Pertempuran Unit dalam Renjer Diraja Batalion Ke-8 di bawah pimpinan Kanang ditugasi untuk mencari-cari dan memusnahkan kumpulan komunis. Mereka menjejaki pihak musuh selama 11 hari di rupa bumi yang sudah biasa kepada pihak musuh. Pada sekitar 1500 jam waktu petang 19 Februari 1980, platunnya dapat menganggar kedudukan pihak musuh yang berhampiran.

Bagaimanapun, mereka kemudian menyedari bahawa mereka telah membuat kesilapan dan telah memasuki kawasan pihak musuh apabila mereka menjumpai tali pintal komunikasi yang menghubungkan tempat terpencil sentri dengan pasukan utama pihak musuh. Tali pintal itu biasanya diikat pada sebatang pokok yang rimbun atau tin kosong supaya sentrinya boleh menarik perhatian pasukan utama tentang sebarang penceroboh.

Kanang yang ketika itu berada sejauh 8 meter daripada tempat sentri pihak musuh melancarkan serangan pada rusuk kanannya. Beliau kemudian mendapati bahawa pasukan utama pihak musuh berada di rusuk kirinya dan menyerang rusuk kiri dengan serta merta. Dengan itu, beliau berjaya menumpaskan pihak musuh, dengan seorang musuh tercedera ditangkap dan lima orang komunis dibunuh.

Seorang askarnya mengalami cedera parah manakala Kanang pada dirinya ditembak sebanyak tiga kali tetapi terselamat dan akhirnya kembali untuk meneruskan perkhidmatannya.

——————————————————

Pengorbanan dan jasamu terpahat di dalam sejarah Malaysia dan akan terus dikenang dan disanjung tinggi oleh semua generasi.

PEMBELA

LT. ADNAN SAIDI

19/08/2008

Lt_Adnan_SaidiADNAN BIN SAIDI atau lebih dikenali sebagai Lt. Adnan Saidi dilahirkan di Kampung Sungei Ramal, Kajang, Selangor pada tahun 1915. Adnan Saidi merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-adiknya, Ahmad bin Saidi dan Amarullah bin Saidi juga merupakan anggota tentera. Ahmad Saidi terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939. Kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan oleh Jepun dalam pelayaran ke Australia. Adiknya yang termuda Amarullah Saidi terselamat dari peperangan dan sekarang bersara dan menetap di Kajang, Selangor.

Adnan Saidi menerima pendidikan di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris. Dia merupakan pelajar yang rajin dan berjaya dalam pengajiannya. Selepas menamatkan pengajiannya, Adnan terpilih sebagai guru pelatih dan mengajar (alma mater) selama lebih satu tahun. Adnan Saidi kemudiannya mengambil keputusan untuk memasuki tentera. Pada tahun 1933, ketika berusia 18 tahun, Adnan Saidi memasuki Rejimen Askar Melayu (Malay Regiment). Setahun kemudian, dia terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, Adnan dilantik ke pangkat Sarjan – kenaikan pangkat yang pantas bagi seorang tentera muda.

Pada tahun 1937, Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, Adnan Saidi sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Major dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus sebagai Leftenan Muda, Adnan Saidi dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni ‘C’ . Sekembalinya Lt. Adnan Saidi daripada London, dia berkahwin dengan seorang guru dikampungnya, Puan Sophia Pakih Muda dan mendapat tiga orang anak: dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin (yang tinggal di Seremban dan Johor), dan seorang anak perempuan. Termuda di antara tiga beradik, bayi perempuannya meninggal sejurus selepas kejatuhan Singapura.

Pada akhir 1941, Lt. Adnan Saidi ditempatkan di Singapura dan membawa keluarganya bersama-sama. Mereka tinggal di rumah besar di Pasir Panjang, dalam kawasan yang dikhaskan untuk keluarga Rejimen Askar Melayu. Apabila berita peperangan Perang Dunia II semakin hampir, dan pihak Jepun bersedia untuk menjajah Singapura, Lt. Adnan menghantar keluarganya kembali ke kampung mereka di Kajang Ini merupakan masa yang getir bagi Lt. Adnan kerana isterinya, Sophia, sedang mengandungkan anak mereka yang ketiga. Ini merupakan kali terakhir mereka bersama. Pendaratan tentera Jepun di Malaya [Tanah Melayu](Malaysia) dan tindakan pantas tentera Jepun memaksa Tentera British berundur ke Singapura. Pertempuran-pertempuran akhir mempertahankan Singapura termasuk pertempuran di Pasir Panjang yang lebih dikenali sebagai Pertempuran Bukit Candu. Bukit Candu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut. Pertempuran sengit telah berlarutan beberapa hari sebelumnya. Tentera Jepun yang biasa bertempur dari ketumbukan Tentera ke 25 yang terkenal berjaya mengatasi kedudukan pertahanan strategik di Singapura.

Bukit Candu menandakan sempadan pertahanan terakhir. Ia merupakan kedudukan pertahanan penting di Singapura berasaskan dua alasan strategik; ia boleh melihat bahagian utara Singapura dan selain itu, sekiranya pihak Jepun mengawal permatang, ia memberikan mereka laluan langsung ke kawasan Alexandra. Kawasan Alexandra merupakan tapak depoh bekalan peluru dan bekalan utama, hospital tentera dan kemudahan utama Tentera British. Dengan itu, permatang tersebut perlu dipertahankan bersungguh-sungguh. Pertahanan permatang itu telah ditugaskan kepada Kompeni ‘C’ . Kompeni ‘C’ merupakan sebahagian satu pasukan kecil Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu (1 Melayu). Batalion 1 Melayu dan Batalion 2 Melayu, bersama-sama dengan batalion ke-2 “Loyal Regiment” Tentera British dipusatkan menjadi Briged Infantri Pertama Malaya (1st Malaya Brigade)

Pada 13 Februari 1942, Division Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Lt. Gen. Renya Mutaguchi menumpukan perhatian mereka kepada persisiran selatan Singapura – Permatang Pasir Panjang. Pada pagi tersebut, permatang tersebut dibedil bertalu-talu dengan sokongan udara, mortar berat dan bedilan meriam. Kompeni ‘C’ dan Lt. Adnan Saidi ketika itu telah ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang telah memberikan tentangan hebat. Akhirnya tentera Jepun terpaksa berundur disebabkan tentangan sengit daripada Kompeni ‘C’. Adnan dan orang-orangnya telah membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi, yang dikenali sebagai Celah (Gap). Walaupun mempunyai bilangan anggota yang lebih ramai, pasukan Jepun di bawah Major Kimura gagal menembusi barisan pertahanan di Celah (Gap).

Pada tengah malam 14 Februari 1942, Kompeni ‘C’ menerima perintah untuk bergerak ke tapak pertahanan baru – Pt. 226, Bukit Candu. Lebih ramai askar tambahan ditempatkan ke pasukan di bawah pimpinan Adnan – menjadikan jumlah keseluruhannya 42 kesemuanya. Selepas meninjau persekitaran dengan cermat, Lt. Adnan Saidi memerintah orang-orangnya untuk memperkukuhkan benteng pertahanan mereka dengan beg pasir. Kawasan bukit tersebut dikelilingi dengan benteng beg pasir. Pada awal petang 14 Februari, pihak Jepun melancarkan serangan berhelah. Daripada Jalan Pepys Road mendaki Pt.226, Adnan Saidi yang ketika itu berusia 27 tahun, memantau kontinjen “tentera Sikh” daripada Tentera British India (British-Indian Army) mara. Penglihatannya yang tajam dan kecerdasan fikirannya membolehkan Lt. Adnan perasan sesuatu tidak kena apabila menyedari tentera berturban yang mara itu bergerak dalam kumpulan berempat dan bukannya bertiga seperti Tentera British. Menyedari helah tersebut, Lt. Adnan Saidi dan anak buahnya melepaskan tembakan dan berjaya membunuh sekitar 20 orang musuh pada jarak dekat, dengan itu memaksa tentera Jepun berundur. Dua jam kemudian, tentera Jepun telah melancarkan serangan besar-besaran dalam bilangan yang besar. Serangan tersebut menumpaskan Lt. Adnan Saidi dan tenteranya. Dengan bilangan yang jauh lebih kecil dan kekurangan peluru, Regimen Melayu bertempur dalam pertempuran sehingga ke mati. Pertempuran sengit berlanjutan di Bukit Candu. Semua jenis senjata digunakan, termasuk bom tangan dan senjata automatik. Lt. Adnan sendiri mengendalikan senjata mesingan jenis Lewis gun. Dalam kebanyakan kes, askar bertempur dalam pertempuran berhadapan menggunakan bayonet. tetapi, mereka kekal bertahan mengecewakan pihak musuh. Dalam pertempuran yang berikutnya pegawai dan tentera mati. Adnan cedera parah tetapi enggan berundur dan sebaliknya menyuruh orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah terakhir. Keberaniannyalah yang menaikkan semangat juang orang-orangnya untuk bertahan bersunguh-sungguh.

Korporal Yaakob, yang mendapat Pingat Keberanian Medal of Gallant, merupakan salah seorang daripada mereka yang terselamat dalam pertempuran Bukit Candu. Dalam kacau-bilau pertempuran, beliau yang cedera jatuh di atas mayat mereka yang terkorban. Beliau terselamat dengan berpura-pura mati disamping mayat rakannya dan melihat kematian mengerikan Adnan Saidi. Musuh yang menang berjaya menawan Lt. Adnan. Akibat perasaan dendam kerana keberaniannya melawan Jepun, ketua platun itu diseret sebelum diserkup dengan guni. Tentera Jepun kemudiannya telah menggantungkan kakinya pada pokok ceri. Kerana meradang akibat kehilangan ramai rakan, tentera Jepun kemudiannya telah menikamnya dengan bayonet berkali-kali. Dalam kejadian lain disebut lehernya telah dikelar. Kejadian ini dilihat oleh Koperal Yaakob. Selepas pertempuran, pihak Jepun melarang sesiapapun menurunkan mayatnya untuk dikebumikan, dan tiada seorangpun yang berani. Malah menurut beberapa sumber, tubuh Lt. Adnan Saidi yang dicacatkan itu dibakar menjadi abu.

Beberapa tahun lalu, Haji Burhan Muslim, yang tinggal berhampiran Bukit Candu, teringat telah memanjat bukit dengan sepupunya beberapa hari selepas pertempuran tersebut. Dalam salah satu rumah banglo yang terdapat di bukit Lorong Pepys, dia melihat mayat askar Melayu yang dipancung merata-rata. Dalam salah satu bilik, terdapat mayat seorang tentera Melayu yang lehernya dikelar. Pakaian seragamnya basah dengan darah. Melihat kepada lencana yang terdapat pada pakaian seragamnya, Haji Burhan percaya bahawa dia adalah pegawai berpangkat. Dia percaya bahawa mayat tersebut mungkin mayat Lt. Adnan Saidi, (mungkin membuktikan mayat Lt. Adnan Saidi tidak dibakar).

Keberanian Lt. Adnan Saidi bersama kontinjen 42 orang anggota Askar Melayu yang telah bertempur mati-matian untuk mempertahankan permatang Pasir Panjang merupakan satu episod yang kini kekal dalam lipatan sejarah.

Pertempuran sengit itu disebut khusus dalam perutusan Lt. General A. E. Percival berkenaan Pemerintahan Operasi Malaya dari tarikh Disember 1941 sehingga 15 Februari 1942: “Selepas dua jam dibedil dengan meriam dan motar, tentera Jepun menyerang Regimen Melayu yang mempertahankan Permatang Pasir Panjang. Regimen Melayu bertempur dengan gagah beraninya tetapi mengalami kehilangan jiwa yang teruk, dan menjelang petang musuh sampai ke Celah (Permatang Pasir Panjang)…” “After two hours of heavy shelling and mortaring, the Japanese attacked the Malay Regiment which was holding Pasir Panjang Ridge. The latter fought magnificently, but suffered heavy casualties, and by afternoon the enemy had reached the Gap (Pasir Panjang Ridge)…” Di tapak bersejarah ini, pertempuran bagi pertahanan terakhir Singapura telah berlarutan selama 48 jam, berakhir dengan satu-satunya pertempuran jarak dekat tangan-ke-tangan (yang direkodkan) dengan Tentera Jepun.

PAHLAWAN MELAYU PAHLAWAN TERBILANG!!! —————————————————–

Moga ALLAH mencucuri rahmat ke atasmu pahlawanku. PEMBELA

KIYAI SALLEH

19/08/2008

Kiyai Sallleh Panglima Melayu Terbilang

Kiyai Sallleh Panglima Melayu Terbilang

HAJI MOHD SALLEH BIN ABDUL KARIM dilahirkan di Tanjung Olak Panchur, Bukit Pasir, Muar, Johor pada tahun 1916. Masa mudanya banyak dihabiskan dengan menuntut ilmu daripada beberapa orang guru termasuklah guru di kampung isterinya, Hajah Esah Haji Abdul Rashid, di Ara Pasung, Pontian, Johor.

Antara guru-guru Haji Mohd Salleh ialah Haji Hussein (belajar agama dan al quran), Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad. Beliau juga turut belajar daripada Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten yang membawa ajaran Wirid Khaujakan di Johor selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan telah dilantik sebagai ketua kumpulan Wirid Khaujakan di Batu Pahat , Johor.

Haji Mohd Salleh atau lebih dikenali sebagai Panglima Salleh atau “Kiai Salleh” atau “Panglima Salleh Selempang Merah” merupakan seorang pahlawan Melayu keturunan Banjar yang bangkit menentang kekejaman komunis semasa selepas kekalahan Jepun semasa Perang Dunia II.

Kepimpinan Haji Mohd Salleh terserlah semasa kekalahan pihak Tentera Jepun di tangan pihak Tentera Berikat pada pertengahan bulan Ogos 1945. Di Semenanjung Tanah Melayu, peristiwa tersebut menimbulkan apa yang dinamakan tempoh Kekosongan Kuasa. Tempoh tersebut berlangsung selama dua minggu sehingga ketibaan Askar British yang menandakan permulaan Pentadbiran British Baru di Tanah Melayu.

Sebelum ketibaan pihak British, pihak komunis yang dikenali sebagai Askar Bintang Tiga yang sebelum itu berjuang menentang Jepun di bawah payung Malayan People Anti-Japanese Army atau MPAJA telah mengambil kesempatan untuk berkuasa dan bertindak kejam terhadap orang-orang yang dianggap bekerjasama dengan Jepun. Mereka tidak mengenal mangsa dan menghukum sesiapa sahaja yang dianggap bersalah tanpa mengikuti proses undang-undang yang betul. Lazimnya mereka yang di dapati bersalah akan dikenakan hukuman mati.

Kekejaman Askar Bintang Tiga berleluasa di Tanah Melayu termasuk di kawasan Batu Pahat dan Muar di Johor. Masyarakat Melayu di kawasan Parit Sulong, Batu Pahat, Johor, yang pada ketika itu tidak mempunyai kelengkapan senjatapi untuk mempertahankan diri telah memilih Haji Mohd Salleh untuk memimpin pakatan untuk mempertahankan diri dari kekejaman Askar Bintang Tiga.

Dengan hanya bersenjatakan parang panjang dan amalan Ayat Empat, Haji Mohd Salleh telah memimpin masyarakat Batu Pahat untuk menggempur kubu-kubu Askar Bintang Tiga di Bukit Berdiri dan Bukit Alam, Parit Sulong, di Parit Lubok, Semerah, di Kangkar Senanga, dan di Air Kuning, Bakri, Muar. Pasukan pejuang di bawah pimpinan Haji Mohd Salleh terkenal dengan gelaran tentera parang panjang dan ‘Selempang Merah iaitu sejenis kain selendang berwarna merah yang dibekalkan kepada setiap orang ketika menghadapi atau berhadapan dengan musuh.

Terdapat pelbagai kisah mengenai kehebatan ilmu kebatinan Haji Mohd Salleh dan pengkutnya mendakwa ramai Askar Bintang Tiga melihat beribu-ribu pejuang yang tinggi menggalah menuju ke arah mereka untuk mencabut nyawa mereka, sedangkan yang datang itu hanyalah Panglima Salleh dan pasukanya yang dianggarkan berjumlah seratus orang sahaja.

Walauapapun yang sebenarnya berlaku, yang jelas adalah Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim berjaya menyekat kegiatan Askar Bintang Tiga pada masa itu secara berkesan sehinggalah pihak British kembali menjajah Tanah Melayu.

Kegagahan dan keberanian, Haji Mohd Salleh diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu. Sejak itu Haji Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.

Sebagai mengenang jasa Haji Mohd Salleh, DYMM Sultan Johor telah mengurniakan beliau Pingat Ibrahim Sultan (PIS)pada 17hb September 1955. Haji Mohd Salleh menghembuskan nafas yang terakhir kerana diserang penyakit radang paru-paru di Hospital Besar Johor Bahru pada 21hb April 1959.

Kiyai Salleh (tengah) Bersama Polis Laut Di Johor

Kiyai Salleh (tengah) Bersama Polis Laut Di Johor

_______________________________________________

Ramai lagi Pahlawan yang telah banyak berjasa yang sepatutnya diangkat menjadi IKON kepada rakyat Malaysia dan masyarakat Melayu khususnya

PEMBELA

DATO’ DOL SAID

15/08/2008
Makam Dato' Dol Said. Pahlawan Melayu Melaka.

Makam Dato' Dol Said. Pahlawan Melayu Melaka.

Dato’ Dol Said bin Omar, atau Abdul Said (1773 – 1849), ialah Penghulu Naning yang kesembilan. Perang Naning yang berlaku pada tahun 1831 menjadikan beliau seorang wira yang telah mengukir tempat di sejarah Melaka. Daripada suku Semelenggang, Dol Said mewarisi Penghulu Anjak sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 ketika hanya berumur 26 tahun.

Pada tahun 1829, pemerintah British di Melaka memaksa Naning membayar cukai tanaman sebanyak 1/10 dari hasil perolehan. Ini dikatakan berpunca daripada kejahilan dan kesilapan Gabenor Fullerton dan Lewis, Penguasa Tanah di Melaka pada masa, tentang taraf Naning dan bentuk cukai yang sebenarnya wujud pada masa itu.

Dato’ Dol Said yang ketika itu menjadi Penghulu Naning membantah perintah membayar cukai tersebut. Berikutan itu, pada tahun 1831, satu pasukan seramai 150 orang askar Sepoi dengan dua buah meriam telah dihantar oleh Inggeris untuk menyerang Naning bagi menghapuskan Dato’ Dol Said dan pengikutnya.

Dalam Perang Naning pertama yang berlangsung selama 18 hari antara 6 Ogos dan 24 Ogos 1831, pihak Inggeris ini telah berjaya ditewaskan oleh orang-orang Naning dibawah pimpinan Dato’ Dol Said dengan bantuan orang-orang Rembau dibawah pimpinan Syed Shaaban menantu Raja Ali.

Inggeris tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka dan kembali menyerang Naning pada bulan Februari 1832 dengan tentera yang lebih besar. Dol Said kehilangan ramai orang dan beliau terpaksa berundur ke Pasir Besar. Dalam tempoh empat bulan, Naning jatuh ke dalam tangan Inggeris pada 15 Jun 1832. Naning kemudiannya diletakkan di bawah peraturan Negeri-negeri Selat pada 27 Oktober 1832.

Dol Said meninggal dunia pada 1849 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning.


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 1,851 other followers